Menghadiri pengajian intensif bersama Sheikh Al-Imam Dr Yusuf Al-Qaradhawi di Doha Qatar memberi seribu satu macam kesan dan semangat buat diri saya, tercapai juga hasrat untuk mengaji secara berdepan bersama Sheikh yang telah lama tersimpan sebelum ini.
Terkenang pada hari pertama, Sheikh menceritakan kepada kami liku-liku pengajiannya sehingga tertulisnya buku pertama beliau ‘Al-halal wal al-haram fil Islam’. Sebelum syeikh sampai ke majlis, Setiausaha ahli jawatankuasa penganjur, menceritakan pelbagai latar belakang Sheikh yang amat menarik perhatian. Berkenaan cara sheikh menulis kitab-kitabnya dan lain-lain.
Dari pelbagai yang diceritakan, ada satu perkara yang ingin saya sentuh dalam tulisan ringkas ini. Iaitu kebijaksanaan Sheikh Yusuf Al-Qaradawi yang terserlah sejak beliau di peringkat sekolah rendah lagi. Menurut info yang diberikan, Sheikh adalah tergolong dalam 100 pelajar terbaik seluruh Mesir sejak peringkat rendah lagi sehinggalah ke peringkat Universiti.
PILIHLAH PELAJAR CEMERLANG JADI USTAZ
Dari situ, saya kerap terfikir betapa perlunya seseorang ilmuan Islam itu dipilih dari kalangan pelajar-pelajar yang terkenal bijak dan rajin sejak peringkat rendah lagi. Malah sudah sekian lama, saya mencadangkan kepada pelbagai pimpinan NGO Islam termasuk PAS, agar membuat satu perancangan tersusun untuk melahirkan lebih ramai ulama Malaysia yang berwibawa, menembusi peringkat global dan berperanan besar.
Sebelum ini seringkali kita melihat, ibubapa yang mempunyai anak-anak bijak dan rajin serta memperolehi keputusan peperiksaan cemerlang, dijuruskan oleh ibubapa mereka ke arah menjadi doktor perubatan dan lain-lain bidang profesional berasaskan ilmu sains.
Keadaan dan kecenderungan sedemikian menjadikan jumlah pelajar berminda cerdas dan rajin JARANG dapat disalurkan menjadi seorang ilmuan DAN PEMIKIR ISLAM YANG HEBAT.
Teringat bagaimana Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi merupakan ‘cream of the cream’ ketika di Mesir, sejak kecil. Justeru, dengan pengajian bersungguh, penuh minat, ikhlas dan istiqamah, beliau mampu menjadi seorong ilmuan Islam dan daie yang terulung di dunia.
Saya amat berharap kepada sesiapa sahaja yang membaca artikel ini agar cubalah membentuk anak tuan dan puan yang terbukti berminat, rajin dan cerdas akal fikirannya untuk dibentuk menjadi seorang alim besar.
PROSES PERLU PLAN TERSUSUN DAN TERANCANG
Proses ini tentunya perlu kepada ibubapa yang sudah sediakan alim di bidang agam, atau jika tidak ia lebih mudah disusun dan dirangka oleh sesebuah organisasi, mempunyai dana khusus untuk itu dan sekumpulan pakar yang diberikan tugasan membentuk diri anak terbabit.
Saya teringat info yang diberi oleh seorang seorang pelajar Melayu yang telah menjadi doktor di Ireland dan kini sudah hampir menjadi pakar dalam bidangnya. Beliau mendedahkan bahawa proses untuk mencapai apa yang telah dan sedang beliau capai itu, banyak juga bergantung kepada doktor-doktor pakar di Malaysia yang menasihatinya selalu, agar beliau faham dan tahu bahagian teknikal apa yang perlu diperkukuhkan dan dimantapkan bagi memenuhi tuntutan kerjaya doktor pakar di Malaysia. Proses ini menuntut beliau untuk bertugas dan belajar di Ireland hampir 15 tahun.
Demikian, proses yang diperlukan jika kita ingin melahirkan seorang ulama bertaraf lima bintang di Malaysia, kita perlukan sekumpulan ulama sebagai mentor, yang boleh sentiasa memberi panduan, tunjuk ajar, bimbingan dan pemantauan agar pengajian yang dilalui benar-benar diarah dan berjaya sampai ke sasarannya.
Kita tidak mahu, pengajian mereka terpilih salah guru akhirnya menjadi seorang yang ekstrem yang bersifat pemecah berbanding penyatu umat dalam masalah yang bukan pokok.
INGIN JADI ALIRAN MANA INI?
Sebagaimana diketahui agak banyak juga pecahan-pecahan aliran pemikiran Ulama Islam dalam menanggapi dan memahami teks-teks Al-Quran dan Sunnah di Malaysia. Sehingga tergelar begitu banyak jenis aliran, kefahaman dan kumpulan. Masing-masing merasa mereka yang terbenar dan berada di jalan yang sohih, menafikan kebenaran pada yang lain.
Seperti wujudnya aliran salafi jalur keras (digelar Wahabi oleh pembenci mereka), Salafi sederhana, Salafi lembut, khalafi keras ( digelar Ahbash oleh pembenci mereka), sederhana dan lembut. Demikian juga Sufi tarekat, aliran hadith, Zahiri moden, Syiah, Tabligh dan sebagainya.
BANGGA DENGAN GURU & TEMPAT
Selain terpecahnya aliran sebagaimana di atas, kerap juga ditemui lepasan pengajian Islam yang taksub dan terlalu berbangga dengan universiti masing-masing, tidak kurang dengan Sheikh (guru) masing-masing.
Sehingga ke suatu tahap, tidak merasa apa yang dipunyai oleh individu dan kumpulan lain mampu dan sampai ke tahap keilmuan dan kefahaman mereka.
Keadaan ini menjadikan lulusan pengajian Islam dilihat sering berpecah dan bertempur hujjah sesama sendiri serta terabai akhlak mulia dan masalah lebih besar dan nyata di kalangan masyarakat awam.
Di tambah dengan keadaan masyarakat awam yang majoritinya masih malas membaca, berfikir panjang dan menilai secara penyelidikan. Keadaan di atas menjadi bertambah buruk.
Kumpulan masyarakat ini akhirnya, sering terikut-ikut cara 'pemalas' lalu mempakejkan kebenaran kepada hanya satu-satu kumpulan, selain mempakejkan kesalahan juga kepada yang lain. Bermakna, jika sudah dilabel seseorang individu sebagai 'tidak bersama kumpulan dan alirannya', semua ilmu dari sebelah sana TIDAK BOLEH dibaca atau difikirkan sama sekali, hanya layak ditolak walau perlu melalui takwilan yang tersasar agar kelihatan jahat pandangan tersebut.
Padahal, kebenaran dalam hal ijtihadiyyah itu boleh sahaja bercampur-campur di pelbagai pihak, Hanya Allah yang maha mengetahui kesemunya. Manusia hanya mampu berusaha mencari keputusan yang diyakini paling hampir dengan kasih Allah. Namun sukar untuk mana-mana pihak mendabik dada berkenaan kebenarannya dalam semua perkara khususnya dalam hal cabang fiqh dan lain-lain bidang agama.
Demikianlah Sheikh Al-Qaradawi mengajar kami agar tidak menutup pintu kebenaran di pihak yang lain, penilaian perlu dibuat secara adil, bukan emosi dan bertenang dalam apa jua topik keagamaan. Selain memahami status sesuatu isu yang dibincangkan itu berada dalam kategori qat'ie atau zhonni.
PECAH KERANA UNIVERSITI
Sedihnya apabila melihat terdapat lulusan timur tengah memandang rendah kepada lulusan tempatan, hanya kerana mereka dapat belajar dari guru berbangsa arab.
Graduan universiti tempatan pula ada yang menafikan kebijaksanaan graduan timur tengah, khususnya apabila mengetahui majoritinya pergi bukan dengan biasiswa kerajaan hasil keputusan terbaik, tetapi pergi atas belanja sendiri atau dermasiswa kerajaan negeri tertentu, setelah tidak mampu memperolehi biasiswa JPA atau Kementerian dek kerana keputusan SPM yang tidak melayakkan biasiswa diterima.
Haru melihat pandangan rendah di antara satu sama lain seperti ini berlaku, namun ia hakikat walau pahit ditelan.
Lulusan Mesir pula, terdapat sebahagian yang memandang rendah lulusan Jordan, Morocco Syria dan lainnya, almaklumlah mereka merasakan diri mengaji di institusi tertua pengajian Islam, dipenuhi ulama sejak seribu tahun yang lalu.
Lulusan Mekah dan Madinah pula, ada sebahagiannya merasa diri paling hebat almaklum mengaji di tanah Rasul tercinta, Mekah dan madinah yang penuh berkat. Hanya terpilih setelah proses interview dan menikmati biasiswa mewah kerajaan Arab Saudi.
Lulusan Jordan pula ada yang menganggap majoriti lulusan Mesir sebagai kurang kualiti, disebabkan pengajian mereka yang tidak bersistem, tiada kelas diwajibkan serta majoriti lemah di dalam bahasa arab fushah dan pelbagai alasan lagi diberikan.
Sebahagian lulusan Yaman pula merasa mereka lebih faqih dan faham berbanding yang lain
Sebahagian lulusan Pakistan merasa mereka lebih pakar di bidang hadis dari yang lainnya.
Dan senarai ini berterusan, sukar mencari penghujung. Padahal guru dan tempat belajar hanyalah sebab luaran kepada perolehan ilmu. Apa yang lebih penting adalah diri sendiri, keberkatan pengajian dan keikhlasan dalam menuntutnya.
Hakikatnya hal ini bukan sahaja berlaku di kalangan ustaz dan ustazah kecil di tanahair kita sahaja, malah di kalangan sheikh-sheikh arab yang dilihat alim juga ada memandang rendah kepada satu sama lain. Malah beberapa ilmuan di Syria dan Saudi sering melihat Sheikh Al-Qaradawi sebagai tiada ilmu dan pelbagai lagi.
HASIL MASING-MASING RASA HEBAT
Hasil masing-masing merasa diri lebih hebat, maka berlakulah pertembungan hujjah. Dmulakan secara perlahan, berubah menjadi keras, emosi, tiada akhlak. Berlakulah proses kecil memperkecil tahap ilmu di antara satu sama lain, mengutuk tempat pengajian satu sama lain dan sebagainya.
Ukhuwwah di antara golongan ini yang diharapkan menjadi model kepada masyarakat dan sepatunya dicontohi oleh masyarakat menjadi sebaliknya. Masjid dan surau tempat mereka dijemput ceramah dan berkuliah dijadikan medan berkesan untuk ‘membantai’ individu lain.
Masyarakat awam yang masih kegersangan ilmu dan keliru ini akhirnya semakin jauh, semakin keliru dan ragu, dan akhirnya memilih untuk memasuki salah satu kem dan memeriahkan permusuhan di antara satu sama lain. Adakah ini fungsi para lulusan agama ini?.
Gejala label melabel menjadi senjata antara satu sama lain. Label ‘WAHABI’ dan ‘AHBASH’ dan banyak lagi seringkali digunakan.
Kelihatan seolah tiada siapa yang boleh melunakkan pihak-pihak ini kecuali JIKA DAPAT DITAMPILKAN SESEORANG YANG MEREKA SEMUA YAKIN DAN HORMAT.
Menurut pengamatan sederhana, kelihatan lulusan mesir hanya akan hormat kepada seseorang yang juga pernah mendapat kelulusan dari tempat yang sama dengan mereka. Demikian Mekah, Madinah, Jordan, Yaman Pakistan dan lainnya.
LAHIRKAN ULAMA HASIL GABUNGAN PENGAJIAN
Hasilnya, mungkin jika kita ingin melahirkan seseorang ilmuan yang insaf adil, lunak dan mampu meredakan ketegangan dan perpecahan ini. Mungkin dari sekarang NGO-NGO Islam dan ibubapa perlu merancang untuk melahirkan ulama ulung Negara dari proses pengajian yang pelbagai.
Setelah proses saringan pelajar terpintar, cerdas dan rajin tadi dilakukan dari peringkat rendah atau menengah rendah.
NGO atau organisasi Islam terbabit bolehlah merangka plan penghantaran pengajian pelajar terpilih ini. Setelah rangka asas pengajian terpilih ini, objektifnya sasarannya, proses monitor dan semakan yang komprehensif disediakan.
Mungkin gabungan fasa pengajian seperti berikut boleh difikirkan. Selepas pelajar terbabit mencapai keputusan cemerlang di peperiksaan SPM.
1. Diploma Tahfiz di Darul Quran atau mana-mana pusat tahfiz terbaik. ( atau hafazan ini boleh diperolehi lebih awal di sekolah menegaha sebagai contoh)
2. Peringkat BA : Cadangan saya, menghantarnya ke mana-mana universiti di Jordan bagi tahap sarjana muda. Ini kerana bagi saya, kelulusan pensyarah-pensyarah universiti-universiti di Jordan biasanya adalah gabungan Phd dari Al-Azhar, Ummul Qura, Iraq, Jordan, Madinah, Syria dan lain-lain. Majoritinya dari Al-Azhar. Justeru, kepelbagaian latarbelakang pensyarah banyak membantu bagi melahirkan graduan yang berfikiran terbuka dan toleransi dalam kepelbagaian ijtihad mazhab dan aliran. Ditambah pula dengan sistem pengajian yang lebih tersusun dan penggunaan bahasa arab fushah yang sederhana.
Selain pengajian di universiti, perlu ada mentor yang memastikan pelajar terpilih tadi menghadiri pengajian-pengajian talaqqi dengan sheikh-sheikh teralim di Jordan khususnya di Amman.
Boleh juga ditambah jadual pengajian mereka dengan memberikan belanja yang cukup untuk mereka menghabiskan cuti semester dengan pengajian talaqqi di Syria di hadapan guru-guru terhebat di sana.
HASIL : Kita mengharap graduan ini tamat belajar dari Jordan dan Syria dalam tempoh 4 tahun dengan ijazah dan gabungan ilmu talaqqi di kedua-dua negara. Memperolehi kekuatan bahasa arab dan basic yang utuh dalam ilmu-ilmu Shariah sama ada bidang Fiqh atau Usuluddin.
3. Peringat Masters : Cadangan saya, disiapkan sama ada di Universiti Al-Azhar atau Universiti Kaherah. Ini perlu bagi pelajar terpilih ini memperolehi kelebihan pengajian di mesir yang merupakan pusat ilmu Islam yang amat berpengaruh.
Pada masa yang sama, jika mampu, dinasihtkan pelajar ini menghadiri juga pengajian di Darul Ifta, Mesir. Harapannya, pelajar terpilih ini mampu menyiapkan kedua-dua Sarjana di Al-Azhar dan Darul Ifta’ dalam masa 5 tahun atau kurang.
HASIL : Diharapkan dengan tamanya pelajar ini dari bidang ini, beliau akan pulang dengan kemantapan pengajian ilmu syariah peringkat tinggi dari Mesir di kedua-dua Al-Azhar dan Darul Ifta.
4. Peringkat PhD : Menyiapkan PhD di Universiti Islam Madinah atau Ummu Al-Qura.
Namun halangan, biasanya universiti Islam Madinah dan Mekah sukar menerima graduan yang tidak berlatar belakang dari universiti mereka di peringkat BA dan MA.
Sesuatu perlu diusahakan untuk membolehkan pelajar terpilih ini memasuki universiti ini. Harapannya, kekuatan pengajiannya di Jordan, Syria dan Mesir tadi dapat disempurnakan lagi di tanah suci ini.
Disamping pengajian rasmi di universiti, alangkah baik jika terdapat mentor yang telah mampu menasihatkan pelajar untuk mempelajari ilmu dari cara talaqqi. Di musim cuti, jangan diizinkan peljaar ini bekerja sampingan atau pulang ke Malaysia, tetapi perlu merantau ke Yaman untuk mendapat luahan ilmu dari guru-guru di sana pula.
HASIL : Dalam tempoh 4-5 tahun, dijangka pengajiannya boleh tamat. Ketika itu, amat berharap ilmuan yang dikeluarkan dari proses pengajian Islam yang mantap di Jordan, Syria, Mesir, Madinah, Yaman dan Mekah, maka akan TERHASILLAH SEORANG ILMUAN YANG sangat berwibawa, lunak, hikmah dan dihormati oleh majoriti aliran yang terdapat di Malaysia. Malah bijak pula menyesuaikan diri dengan ilmu-ilmu kontemporari.
Bagi melengkapkan lagi pusingan pengajiannya, selepas menamatkan Phd, mungkin pelajar terpilih ini boleh menunut paling kurang dalam tempoh 6 bulan di Pakistan untuk menghadiri kuliah di Darul Ulum, mendalami pengajian hadis. Juga dihantar setahun ke United Kingdom untuk pengajian Masters ( hanya 1 tahun) di Institut Pengajian Tinggi di UK ( seperti di Markfield Institue of Higher Education, UK), bagi membolehkan beliau melihat dunia dan masyarakat yang berbeza dari tanah arab, disamping menggarap metodolgi pengajian dan pemikiran di Negara barat. Disamping mengasah kekuatan bahasa Inggerisnya agar benar-benar beliau mampu berhadapan dengan pelbagai pihak kelak.
Bayangkan, jika kita mampu melahirkan ilmuan yang melalui proses ini, saya bersangka baik, individu tersebut mampu untuk meredakan pertengkaran aliran-aliran yang sering bertengkar, bersangka buruk dan berselisih. Disebabkan individu ini besar kemungkinannya bakal dihormati oleh kebanyakan aliran pengajian seseorang graduan ilmu Islam.
Hasil penilaian saya, tahap keegoan beberapa graduan agama di Negara kita sukar dineutralkankecuali jika kita mampu melahirkan individu yang berpendidikan seperti di atas.
Namun tidak dinafikan, banyak cabaran yang merintang dan hasilnya belum pasti menjernihkan kedaaan, mungkin juga mengeruhkan lagi. Selain itu, proses di atas pastinya diragui oleh aliran-aliran yang telah wujud. Tentunya masih ada yang merasakan ‘individu ini adalah hasil tangan aliran itu’ justeru kita tidak terima dan sebagainya.
Cuma saya meyakini, kekuatan individu ini pastinya mampu serba sedikit merapatkan jurang yang telah wujud di kalangan graduan agama di Negara kita. Bukan hanya dengan tujuan peringkat nasional malah menjalar ke peringkat dunia. Berfungsi sebagai salah seorang ulama terulung di dunia hasil keluaran rakyat Malaysia.
MERANCANGLAH SAHABAT PERJUANG DI PLATFORM MASING-MASING
Kita sudah letih melihat, pengajian islam sering menjadi pilihan terakhir ibubapa setiap kali apabila memikirkan kerjaya anak-anak di masa hadapan. Kerjaya yang boleh menjana lebih banyak duit dan wang dan nama, sering menjadi keutamaan.
Akhirnya, agak ramai jumlah individu yang menjadi ustaz dan ustazah kekurangan kualiti ilmu. Disebabkan latar belakang mereka bukanlah dari jenis yang cintakan ilmu, cerdas dan rajin di dalam pengajian. Sejak dari pengajian peringkat rendah lagi terkenal dengan gagal dan ‘nakal’nya. Tiba-tiba dewasa menjadi ustaz, yang mengajar di masjid dan surau.
Bertambahnya jumlah graduan sebegini pastinya ada baik dan buruknya. Saya teringat berbincang dengan seorang sahabat yang bertanya bagaimana seseorang ustaz dan ustazah itu ingin muhasabah diri dan mengukur sejauh manakah tepatnya pandangan mereka dalam hal-hal agama.
Jawapan saya panjang, namun ringkasnya termudahnya, mana-mana ustaz-ustazah yang lahir dari pengajian universiti bolehlah musahabah diri dengan melihat kembali markah-markah peperiksaan mereka di universiti.
Benar, ia terlalu subjektif dan sukar untuk menjadi kayu ukuran. Tentunya markah peperiksaan semata-mata itu tidak mampu mencermin penilaian keilmuan seseorang dengan cara yang paling tepat, namun sekurang-kurangnya ia boleh member sedikit indikasi ukuran tahap cerdas pemikiran, hafazan, pemhana dan kerajinan seseorang individu itu semasa menjadi pelajar.
Bermakna jika, semasa tamat belajar dahulu di peringkat BA, MA atau Phd, markahnya adalah 50 %, mungkin beliau perlu sedar itulah peratusan kebenaran pandangan-pandangan fiqh dan agama yang disebarkan kepada masayarakat.
Jika 80 %, maka demikian juga tahap hampirnya dia kepada tepat. Jika hanya 46 %, maka besar jualah kemungkinan tersilapnya dia memberikan ilmu kepada masyarakat. Sama-sama kita muhasabah diri wahai para graduan agama. Agar apa yang kita berikan kepada masyarakat bukan berada di markah lulus tetapi markah cemerlang.
Atas sebab itu mungkin, majoriti institusi pengajian tinggi di seluruh dunia Islam meletakkan markah 75 % sebagai markah lulus bagi subjek-subjek bagi pengajian di peringkat tinggi MA dan PhD. Demikianlah sistem di Jordan, beberapa negara timur tengah dan juga universiti tempatan.
Ia memang perlu agar, keluaran pengajian tinggi di universiti-universiti ini bukan terdiri dari mereka yang hanya ‘cukup makan’ lulus di peringkat BA. Kerana mereka kelak perlu menjadi tenaga pengajar di universiti pula.
KESIMPULAN
Kita amat perlukan pelajar cerdas dan rajin sebagai bakal ustaz dan ustazah masa hadapan. Harapn tersebut memerlukan pernancangan dan memerlukan kos. Selain budget yang mungkin boleh diperolehi dari biasiswa kerajaan pusat atau negeri. Bagi menjayakan hasrat ini, pihak yang merancang memerlukan belanja lain agar plan yang digariskan dapat dilaksanakan.
Hasilnya kita berharap lahirnya ulama yang sangat tinggi kualitinya dewasa ini, seperti Al-Marhum Sheikh Abu Hasan Ali Al-Nadawi, Al-Marhum Sheikh Abul A’lA Al-Mawdudi, Sheikh Mufti Taqi Uthmani dan ramai lagi. Walau mereka bukan berbangsa arab, namun keilmuannya menembusi sempadan hormat dari ulama ‘Arab. Itu sesungguhnya sesuatu pencapaian yang amat sukar dicapai, namun mampu dicapai jika perancangannya melahirnya ulama sedemikian dilaksanakan dengan teliti.
Saya tidak berniat menyindir sesiapa, mana aliran dan mana-mana graduan dari mana-mana Negara dari tulisan ini. Hanyalah memberikan contoh sebenar dari pengamatan dan pengalaman di sekeliling agar kita sama-sama insaf. Namun, jika ada mana-mana aliran, kumpulan atau ustaz/ah yang terasa dengan tulisan ini, saya pohonkan kemafaan jika bahasanya kurang lunak dan elok.
Tentunya ia hasil kelemahan saya sendiri dalam usaha menyampaikan maksud yang diingini. Saya hanya mengharapkan kita sama-sama mampu melahirkan yang terbaik buat umat ini, sambil menyedari diri ini, mungkin tiada kemampuan mencapainya.
Akhirnya, jika ada mana-mana NGO dan ibubapa yang inginkan tenaga saya untuk membantu dalam perancangan ini, setelah mereka mempunyai pelajar terpilih, cukup ciri tadi, saya amat bersedia membantu setakat yang termampu, demi kebaikan ummah dan amal jariah diri untuk ke alam yang kekal abadi. Kegagalan kita merancang untuk melahirkan ulama ulung seperti Al-Qaradawi akan sentiasa menjadikan kita ketiadaan insan sepertinya.
Sekian